20 | 09 | 2017


 

Kursus Pembangunan Kompetensi Guru Mengikut Gred Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (GURU), KPM

 

Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah membangunkan program latihan untuk memberikan kompetensi asas dan baharu yang perlu dikuasai oleh guru-guru. Kumpulan sasaran guru akan ditentukan secara berperingkat dan diwajibkan menghadiri kursus ini. Perkara tersebut dapat dijelaskan  seperti di dalam  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Rujuk 5-11). Kursus ini hanya perlu dihadiri sekali dalam gred berkenaan dan dijalankan secara sepenuh masa dalam jangkamasa 30 jam.                                          

Pada tahun 2014, BPG  telah mensasarkan kumpulan PPP (guru) DG 41 dan DG44 seperti di dalam Lampiran E. Pendaftaran atas talian  telah dilakukan oleh bahagian ini  pada bulan Feb 2014.   Namun mulai bulan Mac  2014, BPG telah menyerahkan program ini kepada  Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).  IPGM telah merancang pelaksanaan program ini dengan kerjasama 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus (IPGK) berdasarkan peserta yang telah berdaftar secara atas talian.

 

Pusat Tanggungjawab : Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI)

 

IPGKTI akan  melaksanakan  program  ini pada bulan April yang melibatkan seramai 3,040 peserta  dikalangan guru akademik  di 5 buah daerah iaitu Johor Bahru, Pasir Gudang, Mersing, Kota Tinggi dan Kulaijaya. Namun begitu pihak pentadbir sekolah dan Guru Bimbingan dan Kaunseling (SR & SM) tidak perlu menghadiri kursus ini.  Sila rujuk Lampiran E untuk mengetahui syarat dan kelayakan menghadiri kursus ini. Kursus ini akan dilaksanakan dengan kerjasama JPN dan PPD di setiap daerah  berkenaan. Jumlah kursus yang telah dirancang adalah sebanyak 42 siri.

Terdapat beberapa  pusat kursus yang  telah dikenalpasti untuk pelaksanaan program ini.  IPGKTI telah menyediakan  2 pusat kursus iaitu IPGKTI A dan IPGKTI B. Selain dari itu, kursus ini juga akan dilaksanakan di JPN dan sekolah.

Hanya IPGKTI A  sahaja yang akan menyediakan  penginapan bagi peserta dari Mersing dan Kota Tinggi. Bagi peserta dari daerah Kulaijaya dan  Pasir Gudang, kursus akan dilaksanakan di sekolah.   Peserta dari Johor Bahru akan berkursus di JPN dan IPGKTI B.

Bagi peserta yang menginap, iaitu di IPGKTI A, Jadual A akan digunakan dan aktiviti akan dilaksanakan sehingga malam.  Manakala peserta dari pusat kursus lain akan menggunakan Jadual B dan aktiviti akan berakhir pada sebelah petang. Peserta dibenarkan berulang dari rumah masing-masing.